Wednesday, September 3, 2008

Perpaduan Belum Terhakis...

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

SETIAP tahun menjelang 31 Ogos, Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan dan perkara ini diketahui umum termasuk kanak-kanak.

Tahun ini, tema Hari Kebangsaan ialah Perpaduan Teras Kejayaan. Persoalannya kenapa tema itu dipilih? Adakah kerana sudah terhakis semangat perpaduan di kalangan rakyat atau ia semakin rapuh. Atau tema itu dipilih kerana wujud kecenderungan setiap kaum yang kini lebih mementingkan keperluan dan kehendak masing-masing serta menafikan hak orang lain sehingga mewujudkan suasana yang menggugat perpaduan di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan, berkata semangat perpaduan di negara ini belum terhakis walaupun ada percubaan pihak tertentu yang mahu menggugat keamanan dan perpaduan dengan mengemukakan isu perkauman dan agama.

Beliau bagaimanapun, mengakui sikap keterbukaan kerajaan sejak kebelakangan ini membuka ruang kepada semua kaum untuk mengemukakan permintaan masing-masing sehingga menggugat perpaduan yang sudah terjalin, selain kemajuan teknologi dengan kehadiran blog turut membebaskan sesiapa saja untuk meluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka.

“Perpaduan yang ada tidak terhakis, masih elok dan dipraktikkan rakyat di semua lapisan umur di kampung dan bandar seluruh negara.

“Malah, selepas peristiwa konflik perkauman di Kampung Medan, tiada lagi insiden sedemikian berlaku di negara ini yang menunjukkan perpaduan berada dalam tahap yang memuaskan,” katanya.


Beliau percaya penghakisan perpaduan tidak berlaku, namun ada sesetengah pihak yang berlagak mahu menjadi hero dengan membangkitkan isu yang boleh menjejaskan perpaduan.

Azman Amin berkata, kerajaan memilih tema ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ kerana mahu rakyat terus bersatu padu dalam apa juga keadaan sama ada ketika susah atau senang, selain membuktikan kerajaan serius dalam isu perpaduan rakyat.

“Lagipun, isu perpaduan ini perlu selalu diingatkan kepada rakyat supaya mereka tidak lupa bahawa dengan perpaduan, Malaysia diwujudkan,” katanya.

Beliau menjelaskan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, menyaksikan lima negeri dikuasai parti pembangkang turut memberi kesan kepada perpaduan rakyat kerana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Ada pihak cuba membangkitkan isu yang mencuit kemarahan sesetengah kaum seperti isu kontrak sosial dan agama serta beberapa ketetapan dalam Perlembagaan Negara kerana merasakan diri sudah mempunyai kuasa dan berhak menyuarakan sebarang tuntutan,” katanya.

Beliau mengakui keputusan pilihan raya yang lalu mencerminkan demokrasi di negara ini berjalan dengan baik, namun menimbulkan suasana kurang selesa di kalangan rakyat yang tidak biasa apabila ada parti lain yang berkuasa di sesetengah negeri sehingga menimbulkan pelbagai isu berkaitan perpaduan rakyat.

“Kini banyak pihak yang menyuarakan pandangan dan rasa tidak puas hati kerana mereka merasakan sudah ada ruang untuk rakyat berbuat demikian. Ini yang menyebabkan berkocak sedikit di peringkat bawah walaupun hanya membabitkan segelintir kecil yang membuat protes dengan menganjurkan perarakan serta forum terbuka seperti yang dilakukan Majlis Peguam, baru-baru ini.

“Memang wujud suasana kurang selesa, namun perpaduan tidak rapuh walaupun sudah ada unsur dan pengaruh yang cuba membangkitkan isu perkauman yang boleh membawa kemarahan. Ada pemimpin parti politik yang cuba membangkitkan isu tertentu kerana mahu menduga reaksi rakyat atau yang cuba ‘test market’.

“Ada parti politik yang sengaja mahu menjadi hero dengan membangkitkan isu agama dan perkauman. Namun, kerajaan sehingga hari ini mampu menyekat tindakan nakal ini dengan mekanisme tertentu,” katanya yang mengakui kanak-kanak lebih patriotik dan bersatu berbanding orang dewasa kerana mereka tidak menilai kawan menerusi warna kulit, agama dan perkauman.

Menyedari isu perpaduan bukannya mudah terutama membabitkan pelbagai kaum dan agama di negara ini, katanya dari dulu lagi, memang ada pelbagai tuntutan dibangkitkan setiap tahun oleh pelbagai pihak.

Bagaimanapun, katanya isu perpaduan di Malaysia sama seperti air di laut ada pasang surut, gelombang dan waktu tenang.

“Apabila ‘gelombang tiba’ pelbagai isu perkauman dibangkitkan dan apabila ‘tenang’ semua kaum hidup harmoni dan bekerjasama. Mungkin sekarang adalah waktu gelombang, maka wujudlah tuntutan yang menggugat perpaduan.

“Namun, saya mahu tegaskan bahawa perpaduan di negara ini di peringkat masyarakat sebenarnya masih kukuh hanya segelintir pihak yang mengapi-apikan masyarakat dan membawa isu ini serta menunjukkan seolah-olah sudah tidak ada perpaduan di kalangan rakyat,” katanya.

No comments: